SESB LAKSANAKAN REBAT RM20 BIL ELEKTRIK
Posted on - 23/09/2008
Kota Kinabalu SESB akan melaksanakan rebat elektrik kepada pengguna domestik yang bil elektrik elektriknya berjumlah RM20 ke bawah sebulan berkuatkuasa 1 Oktober 2008 ini sehingga 31 Disember 2009 selaras dengan pengumuman bajet 2009 pada bulan Ogos yang lalu.
Menurut Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir. Baharin Din, keputusan ini diambil sebagai tanda sokongan SESB kepada keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban kewangan golongan yang berpendapatan rendah di Sabah. Pelaksanaan rebat ini melibatkan seramai 63,000 pelanggan SESB di seluruh Sabah dengan anggaran perbelanjaan kos RM750 ribu sebulan.
Kadar rebat ini juga adalah sama seperti yang akan dinikmati oleh pengguna di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Secara tidak langsung langkah ini juga akan dapat mendidik pengguna untuk menggunakan elektrik secara lebih efisyen dan berjimat cermat, katanya lagi. Pengumuman untuk tidak mengenakan bayaran kepada isi rumah yang membayar bil RM20 ke bawah sebulan telahpun dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Ahmad Badawi dalam sesi pembentangan Bajet 2009 bulan lalu.
Langkah ini juga dikenalpasti akan memberikan manfaat kepada 1.1 juta penduduk di seluruh negara selain membantu golongan yang berpendapatan rendah di negara ini.
|