CURI KABEL ELEKTRIK KEMBALI LAGI
Posted on - 08/01/2009
Kota Kinabalu Kegiatan mencuri kabel elektrik yang begitu berleluasa beberapa tahun lalu kini kembali lagi.
Baru-baru ini cubaan seorang warga asing di Kampung Pulau Penampang mencuri kabel elektrik hampir maut kerana terkena renjatan elektrik.
Kegiatan mencuri bekalan elektrik ini sangat berbahaya kerana ia boleh membawa maut. Di samping itu juga ia membawa kerugian dan ketidakselesaan kepada pengguna dan SESB kerana gangguan yang akan berlaku pada bekalan elektrik ke kawasan terlibat.
Menurut Seksyen 37(1), (3) dan (14) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) perbuatan mencuri atau mengganggu bekalan elektrik boleh didakwa dan didenda jika disabitkan kesalahan.
Oleh yang demikian SESB menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan kerja-kerja yang berbahaya dan tidak bermoral ini demi keselamatan dan kesejahteraan awam.
Kami juga memerlukan kerjasama semua pihak supaya menghubungi SESB di talian 15454 atau 088-282 455 jika melihat orang-orang yang mencurigakan di dalam kawasan pepasang SESB.
|