PENYELARASAN DEPOSIT PENGGUNA
Posted on - 09/06/2009
Kota Kinabalu –Pelaksanaan deposit pengguna bersamaan dengan dua bulan penggunaan elektrik telah digunapakai sejak Lembaga Letrik Sabah lagi selaras dengan Peraturan 5(1) Akta Bekalan Elektrik 1990, Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen (Pindaan) 2002. Deposit ini adalah sebagai perlindungan sekiranya pelanggan mempunyai tunggakan apabila menamatkan perkhidmatan bekalan elektrik ke premis mereka.
SESB membuat kajian setiap 6 bulan terhadap pemakaian elektrik oleh para pelanggan dan jika penggunaan pelanggan berkurangan maka deposit berkenaan akan dikurangkan dan bakinya boleh dituntut semula dan jika penggunaan bertambah maka penambahan deposit akan dikenakan. Amaun deposit tambahan yang kelihatan tinggi oleh pelanggan adalah kerana deposit permulaan yang telah dibayar tidak lagi mencerminkan penggunaan elektrik pada ketika ini. Sebenarnya para pelanggan boleh mengawal tambahan deposit dengan mengawal penggunaan elektrik di premis masing-masing.
Untuk makluman , SESB membayar faedah 5% terhadap deposit berkenaan dalam bentuk rebat. Sejak tahun 2008 SESB telah membayar lebih kurang RM12.2 juta faedah kepada pelanggan melalui rebat pada bil elektrik mereka.
|