79MW Hilang Akibat Kerosakan Mendadak Stn J/Kuasa
Posted on - 24/11/2009
Kota Kinabalu-Pada hari ini (23 November 2009) kawasan yang terlibat dalam catuan bekalan di seluruh Sabah telah meningkat ekoran daripada kerosakan mendadak dan diluar dugaan kepada beberapa stesen janakuasa IPP (Independent Power Producer) dan SESB hari ini bermula pada jam 8.40 pagi. Dalam keadaan biasa kapasiti janaan SESB adalah sejumlah 756MW berbanding dengan permintaan pada beban puncak sejumlah 730MW. Dengan kehilangan sejumlah 79MW maka kapasiti janaan yang sedia ada ( available ) pada ketika ini adalah sejumlah 677MW sahaja. Atas sebab-sebab ini, SESB terpaksa menguatkuasakan catuan bekalan pada waktu beban puncak kerana kapasiti janaan tidak dapat menampung permintaan tenaga elektrik yang semakin meningkat. Antara kawasan-kawasan yang terlibat dengan catuan ini adalah Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Keningau, Penampang dan Kota Kinabalu. Selain itu, operasi set janakuasa yang mengalami kerosakan mendadak ini juga akan dipulihkan secara berperingkat-peringkat dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 November 2009. Perkara ini juga tertakluk kepada tidak ada kerosakan mendadak diluar dugaan kepada stesen-stesen janakuasa SESB dan IPP. SESB juga memohon sekiranya ada aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh kerajaan atau pihak tertentu untuk memaklumkan kepada SESB (secara bertulis) lebih awal terutamanya sekolah-sekolah yang akan menjalankan peperiksaan SPM dan STPM untuk mengelakkan sebarang gangguan/ catuan pada tempat tersebut. Kerjasama semua pihak sangat diharap dan dihargai.
|