'Gas Curtailment' Kurangkan Kapasiti Janaan SESB
Posted on - 14/12/2009
Kota Kinabalu - Sejak 12 Disember yang lalu pihak Petronas telah memberhentikan penyaluran Gas (gas curtailment) ke Stesenjanakuasa Patau-Patau W.P Labuan sehingga 16 Disember 2009 kerana kerja-kerja penyelenggaraan. Oleh yang demikian Stesen Janakuasa Patau-Patau yang berkeupayaan 104 MW telah dikehendaki untuk menjanakuasa menggunakan bahan bakar disel. Namun demikian, penjanaan menggunakan diesel di Stesen Janakuasa Patau Patau adalah terhad. Oleh yang demikian pada hari ini, di samping kerosakan mendadak kepada stesen janakuasa Batu Sapi dan stesen janakuasa IPP Teluk Salut, kapasiti janaan telah berkurangan sehingga 147 MW. Oleh yang demikian SESB terpaksa melaksanakan catuan bekalan dan Demand Side Management (DSM) dengan memohon kerjasama syarikat-syarikat yang telah dikenalpasti untuk mengoperasikan janakuasa mereka bagi menampung kekurangan tersebut supaya jumlah catuan bekalan dapat dikurangkan di premis-premis pelanggan SESB yang lain. Catuan secara meluas ini akan berlarutan sehingga 16 Disember 2009.
SESB juga ingin memaklumkan para pengguna bahawa di negeri Sabah terdapat tiga stesen janakuasa IPP Biomass berkeupayaan 10 MW setiap satu iaitu Stesen Janakuasa Kina Bio dan Seguntor di Sandakan dan Stesen Janakuasa TSH di Kunak. Kerajaan dan SESB memang mengalu-alukan penyertaan IPP dalam menjanakan tenaga elektrik di negeri ini bagi membantu SESB untuk meningkatkan sistem penjanaan di negeri ini. Sehingga kini SESB sedang membeli sebanyak 30 MW dari stesen janakuasa yang sedia ada dan sedang mengurus pembelian sejumlah 6 MW daripada Syarikat Teck Guan Tawau . Walau bagaimanapun program ini tidak dapat menampung keperluan base load sebanyak 300MW di Pantai Timur. Stesen janakuasa Biomass yang sedang beroperasi ketika ini mempunyai daya harap yang rendah.
SESB menasihatkan para pelanggan untuk memaklumkan pihak kami melalui pejabat-pejabat yang terdekat jika menganjurkan program-program penting bagi menbolehkan SESB mengelakkan semaksima mungkin tempat-tempat tersebut dari dikenakan catuan bekalan. Segala kesulitan yang dihadapi amatlah dikesali.
|