Respond SESB Pada Kenyataan YB Datuk Ghapur Salleh
Posted on - 24/03/2010
Kota Kinabalu - Mengenai isu pembelian janakuasa mudahalih yang terpakai mewujud persepsi rakyat kelas kedua, matlamat utama perancangan SESB dan Kerajaan untuk membina loji janakuasa arang batu dengan kapasiti 300MW adalah usaha untuk menyama-ratakan kesejahteraan rakyat Pantai Barat dan Timur. Pembinaan loji janakuasa arang batu tersebut akan melepaskan rakyat Pantai Timur daripada bergantung kepada aliran bekalan tenaga dari Pantai Barat, yang kadangkala tidak mencukupi untuk diagihkan. Maka pembinaan loji tersebut akan meningkatkan daya mampu dan daya saing semua sektor yang terlibat di kawasan Pantai Timur.
Pihak SESB juga ingin menekankan bahawa tidak pernah terjadi 15 kali gangguan dalam sehari diseluruh kawasan Tawau seperti yang disiarkan dalam kenyataan akhbar semalam (23 Mac 2010).
Menurut rekod status gangguan bekalan elektrik di Tawau, petunjuk gangguan setiap pelanggan di kawasan Tawau antara bulan September 2009 hingga Februari 2010 telah menurun dari 549.99 minit ke 69.65 minit.
Penurunan gangguan seperti tercatat di atas adalah kesan daripada inisiatif penambahbaikan dan pengukuhan sistem pembahagian (distribution) dan penjanaan (generation).
Hasil usaha yang berterusan ini telah menghasilkan penurunan kes gangguan seperti, Kerosakan Voltan Tinggi telah menurun dari 75 kes pada bulan September 2009 ke 49 kes pada bulan Februari 2010 dan Voltan Rendah dari 180 kes pada bulan september 2009 ke 99 kes dalam bulan Februari 2010. Catuan bekalan pula telah menurun dari 65 (September 2009) kepada hanya (1) sekali sahaja setakat 24 Mac 2010.
|