ST Turun Padang Banteras Penyambungan Haram
Posted on - 04/06/2010
Baru-baru ini Suruhanjaya Tenaga (ST) yang diketuai oleh Encik Shahidan Bin Baharom, Ketua Unit Penguatkuasaan, Jabatan Penguatkuasaan Dan Penyelarasan Kawasan telah menyertai satu operasi membanteras kegiatan sambungan haram di tujuh (7) kawasan penempatan setinggan sekitar Kota Kinabalu meliputi Kampungg. Lokub, Kampung Padas, Bukit Padang, Kampung.Numbak, Kampung Delima, Kampung Suang Parai dan Kampung Balau melibatkan lebih kurang 300 buah rumah.
Operasi yang melibatkan 20 anggota kerja SESB itu telah berjaya mengesan dan mengambil tindakan untuk memotong sambungan haram di premis terlibat. Pihak Suruhanjaya Tenaga juga menegaskan yang kegiatan sambungan haram dan mencuri elektrik perlu diberi perhatian yang serius kerana kegiatan seumpama ini boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian kepada orang awam akibat renjatan elektrik serta kerugian kepada pihak utiliti seterusnya memberi kesan yang negatif terhadap ekonomi negara.
Terdahulu, dalam perbincangan dengan pihak SESB, pihak Suruhanjaya Tenaga telah bersetuju untuk bekerjasama dengan SESB bagi mengadakan serbuan bersama dengan SESB dalam menguatkuasakan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dan seterusnya membuat pendakwaan di mahkamah bagi membendung kegiatan mencuri elektrik di negeri Sabah.
Pada sebelah malam pula, satu serbuan bersepadu melibatkan ST, SESB, Majlis Daerah Penampang dan PDRM telah dilakukan di sebuah premis hiburan di Kota Kinabalu yang melakukan kegiatan memcuri elektrik. Serbuan ini dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dimana pemilik premis akan didakwa dimahkamah.
|