Sorry, you need to enable JavaScript to visit this website.

Warga emas nikmati kehidupan yang lebih selesa

Hidup seorang warga emas, Kambongoi Mumpung, 72 tahun daripada Kg. Torintidon Kota Marudu berubah apabila program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang telah dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) memberikan kehidupan yang lebih kondusif kepada beliau. Jika sebelum ini beliau hanya tinggal di sebuah pondok kecil berkeluasan 6' x 8' sahaja, beliau kini amat bersyukur dengan bantuan yang telah diberikan iaitu sebuah rumah baru di bawah Projek Mesra Rakyat TNB yang lengkap dengan barangan keperluan seperti katil, tilam, pemasak nasi elektrik, dapur gas dan barangan makanan asas.

Dalam Majlis Perasmian bagi penyerahan rumah kepada Puan Kambongoi Mumpung, Ir. Mohd Yaakob Hj. Jaafar, Pengurus Besar Kanan (Pembangunan Aset) SESB yang mewakili Pengarah Urusan SESB menyatakan bahawa TNB telah mula melaksanakan inisiatif ini bermula tahun 2012 dengan mensasarkan golongan warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan. TNB dan SESB sebagai syarikat korporat yang prihatin dan bertanggungjawab tidak hanya mementingkan bisnes semata-mata, tetapi juga sebahagian keuntungan yang telah diperoleh dikembalikan semula kepada rakyat dan negara melalui pelaksanaan program CSR seumpama ini. Ir.Mohd Yaakob turut menyerahkan replika kunci rumah kepada wakil penerima bantuan, iaitu En. Lumuk Yakau dan disaksikan oleh YBhg. Datuk Omar Sidek, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB.

Pastinya, melalui bantuan yang telah diberikan oleh TNB kepada Puan Kambongoi Mumpung akan membolehkan beliau meniti kehidupan seharian yang lebih kondusif dan berkualiti. Puan Kambongoi Mumpung merupakan salah seorang penerima bantuan yang terpilih tahun ini untuk menerima bantuan rumah baru bernilai RM50,000 di negeri Sabah.

Gambar 1: Rumah baru di bawah Projek Mesra Rakyat (TNB) yang lebih selesa untuk Pn Kambongoi Mumpung dan ahli keluarga yang lebih selesa untuk menjalani kehidupan seharian

 

Gambar 2: Penyerahan replika kunci rumah Projek Mesra Rakyat kepada wakil penerima bantuan

Gambar 3: YBhg. Datuk Omar, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB dan Ir. Mohd Yaakob Hj. Jaafar, Pengurus Besar Kanan (Pembangunan Aset) SESB mengambil peluang untuk berjumpa dan bercerita bersama dengan Pn. Kambongoi Mumpung

Gambar 4: Anggota Kerja TNB dan SESB mengambil gambar kenangan bersama Pn. Kambongoi Mumpung